Wednesday, July 31, 2013

Qiamullail Dan Pembentangan Kertas Kerja.

Pada 30 Julai bertempat di Masjid al-Irsyad USJ1, Al-Faqir telah dijemput untuk memimpin Solat Tasbih bermula jam 4 pagi untuk mengisi program menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan yang dianjurkan oleh pihak masjid.Seusai Solat Subuh di Masjid al-Irsyad USJ1, Al-Faqir terus bergerak ke Seremban bagi menyempurnakan program anjuran Maahad Tahfiz As-Saidiyyah untuk membentangkan kertas kerja tentang permasalahan darah wanita dan hukum-hukum fiqh. Al-Faqir terpaksa bermujahadah dengan izin Allah jualah dapat segala-galanya diuruskan dengan baik.Alhamdulillah, rata-rata tenaga pengajar yang ada di Maahad Tahfiz As-Saidiyyah berpuas hati dengan pembentangan yang telah memberikan kefahaman kepada semua yang hadir.Insya'allah, Al-Faqir akan terus menyumbangkan sedikit ilmu yang bermenafaat kepada semua pelajar-pelajar yang ada agar mereka menjadi warga yang berilmu dan mengamalkan segala ilmu yang diwarisi.

Tazkirah Ramadhan Lagi.....

Ramadhan 1434H semakin melabuhkan tirainya, namun beberapa aktiviti masih lagi dijalankan oleh beberapa masjid dan surau sebagai mengisi program sepanjang bulan Ramadhan. Sekali lagi Al-Faqir dijemput oleh pihak pengurusan Surau al-Hidayah Taman Sunway Batu Caves untuk menyampaikan tazkirah yang menyentuh tentang pendidikan anak-anak dalam urusan agama yang sering diabaikan oleh sebahagian ibu-bapa.Semoga apa yang disampaikan dapat dijadikan pengajaran kepada ibu-bapa yang hadir agar lebih menitik-beratkan pengajian agama diterapkan kepada anak-anak mereka.

Tuesday, July 23, 2013

PENGAJIAN KITAB HADIS2 ABDULLAH BIN UMAR

Alhamdulillah, selama empat malam bermula 15 Julai - 18 Julai 2013, Pengajian Kitab Bintang Yang Bersinar Hadis-Hadis Abdullah Bin Umar r.a bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin di Masjid al-Mukarramah Bandar Sri Damansara bermula jam 11 malam hingga 1 pagi dapat disempurnakan dengan dihadiri ratusan pencinta ilmu.Sesungguhnya pengajian berkitab terutamanya dalam bulan Ramadhan seringkali diadakan oleh Tuan Guru Syeikh Nuruddin dan ternyata mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orangramai.Insya'allah pengajian ini akan diteruskan lagi selepas Hari Raya nanti, moga-moga dipermudahkan oleh Allah untuk Al-Faqir terus menuntut ilmu bersama seorang Ulama yang hebat.

Wednesday, July 17, 2013

Imam Di Surau Lebih Faqeh Beramal Dengan Ilmunya.

Sejak ketiadaan sahabat baik Al-Faqir, Al-Fadhil Ustaz Osman Hj Abdul Halim bertugas sebagai Imam di masjid berhampiran rumah Al-Faqir, maka Al-Faqir lebih cenderung menghadiri solat berjemaah di surau-surau berdekatan.Al-Fadhil Ustaz Osman merupakan seorang Imam yang beramal dengan sunnah-sunnah Nabi, tidak sewenang-wenangnya meninggalkan wirid2 dan zikir2 selepas solat dan mengikut panduan hukum sebagaimana selayaknya seorang Imam memimpin solat berjemaah.Malangnya ada di antara pihak yang tidak senang dan yang paling amat dikesali ialah daripada seseorang yang mempunyai pendidikan agama dari Timur Tengah.Maka dengan itu, Al-Faqir melihat, Imam-Imam di surau-surau berdekatan lebih lagi beramal dengan Hadis-Hadis Nabi berbanding dengan Imam yang ada di masjid berhampiran rumah Al-Faqir. Al-Faqir juga turut kesal apabila dalam solat Juma'at, Imam hanya membaca Surah al-Kafirun dan al-ikhlas sedangkan Baginda Nabi sering membaca Surau Al-'Ala dan Al-Ghasyiah ketika memimpin solat Juma'at.Begitu juga, wirid-wirid yang warid dari Hadis-Hadis Nabi ditinggalkan begitu saja dengan alasan untuk meraikan jemaah yang berkerja sedangkan Imam tidak pernah untuk mempertimbangkan akhirat jemaah-jemaah yang ada.Seseorang Imam sepatutnya lebih amanah lagi apatah ketika membaca khutbah, mengajak jemaah beramal dengan sunnah-sunnah Nabi tetapi ia seolah-olah cerita kedai kopi di mana Imam sendiri yang menguburkan sunnah-sunnah Nabi.Al-Faqir tidak mahu mencampuri urusan masjid tetapi sedarlah bahawa kebanyakan jemaah telah beralih ke masjid-masjid yang lain dan tidak perlulah kita mengeluh jika ramai yang tidak mahu berjemaah di masjid kita bertugas.Maka dengan itu bagi Al-Faqir ialah menjauhkan diri dengan beralih ke surau-surau atau masjid-masjid yang lain untuk berjemaah dan hanya hadir sekali-sekala sahaja di masjid berhampiran rumah Al-Faqir tanpa perlu berkata apa-apa dengan situasi yang berlaku keraa ia sudah tentu tidak akan diterima jika ditegur. NOTA: (Al-Faqir tidak menamakan masjid mana dan siapa Imamnya dalam tulisan ini, maka terimalah ia sebagai coretan umum dan ia bukan untuk mencari perbalahan tetapi sekadar meluahkan sesuatu yang sepatutnya kita renung bersama.)

Program Sepanjang Ramadhan 1434H.

Alhamdulillah, pada Ramadhan kali ini, Al-Faqir telah dijemput oleh beberapa pihak untuk menyampaikan tazkirah dan juga mengadakan sesi pengajian.Bermula 1 Ramadhan, Al-Faqir menyampaikan pengajian di Yayasan Tun Abdul Razak, disusuli pula tazkirah Zuhor pada 2 Ramadhan di Masjid Ar-Rahah Bangsar South City, Kerinchi.Seterusnya pengajian Al-Faqir di Intitut Latihan Perindustrian Jalan Kuchai Lama untuk anak-anak remaja yang diterima masuk dalam institut tersebut.Selain dari itu, tazkirah Ramadhan juga diadakan di Surau al-Hidayah Taman Sunway Batu Caves, Surau Saidina Ali Bukit Beruntung, Masjid al-Irsyad USJ1, Madrasah Darul Taqwa Lebuh Turi Kelang,Masjid al-Ikhlasiah Kampung Kuchai Lama dan beberapa lagi masjid dan surau.Di antara itipati tazkirah yang disampaikan ialah berkaitan adab-adab di Masjid dan majlis-majlis ilmu, kelebihan menuntut ilmu dan beramal dengan ilmu dan tatacara solat sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.Semoga ilmu yang disampaikan dapat dimenafaatkan oleh setiap pendengar yang hadir serta terus istiqamah mengamalkan setiap apa yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi kepada kita tanpa kita remeh-remehkan.Al-Faqir juga menegur beberapa Imam yang dilihat seolah-olah berijtihad sendiri tanpa mengikut kaedah hukum dalam memimpin solat berjemaah seperti meremehkan mengangkat tangan pada empat tempat yang disunatkan perbuatannya, membaca surah-surah tidak berurutan, sengaja meninggalkan wirid-wirid yang warid daripada Hadis-Hadis Nabi, duduk iftirasy dan tawarruk yang tidak mengikut sunnah dan beberapa lagi kesalahan yang dilakukan.Maka benarlah firman Allah yang bermaksud,"Katakanlah (Wahai Muhammad),Apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui" -Az-Zumar 9.

Friday, July 12, 2013

Tausiyah Ramadhan, Solat Sunat Tarawih - Ramadhan 1434H

Alhamdulillah bertemu lagi kita dengan bulan yang penuh keberkatan yakni bulan Ramadhan. Sekali lagi rumah Al-Faqir menjadi tumpuan untuk beberapa jemaah lelaki dan perempuan terutamanya bagi mereka yang tidak berkeupayaan untuk ke masjid, maka Al-Faqir membuka dengan lebih luas lagi ruang solat di rumah.Bagi menyempurnakan solat fardhu Maghrib dan Isya', Al-Faqir sendiri akan memimpin jika tidak ke mana-mana untuk memenuhi jemputan tazkirah, manakala solat sunat Tarawih akan dipimpin oleh anak Al-Faqir.Semoga Allah SWT mempermudahkan usaha Al-Faqir ini yang telahpun masuk tahun ke 2 dan jemaah juga semakin bertambah, Alhamdulillah.

Sunday, July 7, 2013

Program Sepanjang Ramadhan Bersama Ulama Nusantara.

Ziarah Ulama Keturunan Nabi & Bertabaruk.

Syukur Alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT yang memberi kesempatan kepada Al-Faiqr kerana dijemput khas untuk menziarahi Ulama keturunan Nabi iaitu Sheikh Salim Ulwan al-Hussainiy dan Sheikh Jamal Saqqar al-Hussainiy.Kesempatan tersebut juga Al-Faqir panjang-panjangkan kepada sahabat baik Al-Fadhil Ustaz Osman Bin Hj Abd Halim, Mantan Imam Masjid ar-Rahimah Kg Pandan yang turut hadir bersama keluarganya. Peluang yang tidak sepetutnya dilepaskan apatah lagi dapat bertabaruk dengan kain penutup maqam Baginda Nabi dan bertabaruk dengan rambut Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam merupakan satu-satunya yang sering dilakukan oleh para sahabat Nabi.Al-Faqir turut didoakan oleh Sheikh Jamal Saqqar al-Hussainiy agar ditetapkan iman dengan memperjuangkan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar bagi menangkis segala serangan golongan Wahhabiy dan Syiah yang telah banyak memesongkan aqidah umat Islam kini.Semoga Allah SWT memberi keberkatan dalam pertemuan yang singkat ini dan menjadikan ia sebagai satu amalan untuk terus mengunjungi para Ulama yang hadir ke Negara ini.

Wednesday, July 3, 2013

PROGRAM AQIDAH & BERTABARUK DENGAN RAMBUT RASULULLAH.

Alhamdulillah, pada 1 Julai 2013, Isnin, bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam, Al-Faqir telah berpeluang untuk bertabaruk dengan rambut Junjungan Mulia Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam dalam program pemantapan aqidah bersama Ulama keturunan Nabi, Sheikh Salim Ulwan al-Hussainy, Mufti Darul Fatwa Australia. Sesungguhnya tidak ada suatu nikmat yag dapat dikecapi apabila mendapat sekurang-kurangnya mengambil keberkatan daripada peninggalan Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.Semoga al-Faqir akan diberi kemudahan oleh Allah untuk bertemu secara langsung bersama KekasihNya, Sayyidina Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam nanti di akhirat jika tidak dapat bermimpi bertemu dengan Baginda Nabi yang sewajibnya kita idolakan sepanjang waktu.