Saturday, August 31, 2013

Penyebab Mendapat Su'ul Khatimah.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT yang masih lagi memberi peluang untuk kita bernafas dan menyambung kehidupan kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa.Perkongsian dari Al-Faqir di Masjid al-Irsyad USJ1 Subang, sedutan ceramah kepada penyebab mendapat su'ul khatimah, semoga para jemaah yang hadir mendapat menafaat dari apa yang disampaikan.

Monday, August 19, 2013

Kitab Al-Asya'irah: Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Alhamdulillah, pada 16 Ogos 2013, Hari Juma'at, bertempat di Masjid Asy-Syakirin KLCC, Al-Faqir telah diberi kesempatan untuk bersama-sama Al-Fadhil Ustaz Zamihan al-Ghari untuk melancarkan kitab terjemahan terbarunya bertajuk,"Al-Asya'irah: Akidah Sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah, susunan dua Ulama dari Mesir, Syeikh Dr Fouzi al-Anjari dan Syeikh Hamdi Sinan al-Masri.Kitab ini telah diperakui oleh 10 orang Ulama dunia dan merupakan satu jawapan kepada golongan Wahhabiy yang mengingkari tentang akidah yang dibawa oleh Imam Abul Hassan Al-Asya'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Sebanyak 200 naskah yang kami bawa ke Masjid Asy-Syakirin dan telah terjual kesemuanya sehinggakan ada yang hampa tidak mendapatkan kitab yang begitu berharga ini.Pada keesokan harinya, 17 Ogos 2013, bertempat di Masjid Ash-Syafie Taman Maluri, sekali lagi kitab ini diwar-warkan dalam kuliah Subuh bersama Al-Fadhil Ustaz Zamihan al-Ghari.Al-Faqir yang terlibat secara langsung dalam mengedarkan kitab-kitab yang dikeluarkan oleh Ustaz Zamihan al-Ghari telah menjual keseluruhan kitab yang ada melalui laman social facebook sehinggakan tidak ada lagi stok untuk dijual.Sesungguhnya permasalahan akidah ini teramatkan pentingnya dan kitab ini merupakan penyelamat kepada akidah umat Islam daripada diracun dengan penyelewengan golongan Wahhabiy yang telah banyak melakukan pemalsuan terhadap Kitab Al-Ibanah yang dikarang oleh Imam Asya'ari.Semoga Allah jualah yang akan memberi petunjuk kepada golongan-golongan Wahhabiy yang masih lagi buta dengan akidah sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tuesday, August 13, 2013

Jauhi Berdebat Dengan Orang Yang Jahil.

Ungkapan daripada Imam Asy-Syafie sememangnya ada kebenarannya.Adalah sesuatu yang sia-sia jika kita berdebat dengan seorang yang tidak memahami tentang landasan ilmu apatah lagi yang tidak pernah menadah kitab, mengadap seorang guru untuk mendapatkan ilmu.Golongan seperti ini hanya menggunakan akalnya yang cetek dengan dikuasai oleh nafsunya sendiri bagi menegakkan kebenaran tanpa ada nas Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi bagi menyokong perkataan mereka.Dalam satu Hadis Nabi melaknat mereka yang tidak memperdulikan seruan azan untuk menunaikan solat.Ini jelas bahawa setelah Islam tersebar dengan luasnya, maka tidak sepatutnya ada di antara umat Islam yang tidak mahu lagi melaksanakan solat.Jika seseorang yang bersolat sendirian di rumah pun, diancam oleh Baginda Nabi untuk membakar rumah-rumah mereka apatah lagi dengan meninggalkan solat dengan sengaja dan tidak pernah Nabi mendoakan kebaikan kepada yang meninggalkan solat dengan sengaja setelah perintah solat difardhukan kepada umat Islam.
Baginda Nabi juga telah mengingatkan kita tentang munculnya golongan munafiq yang hanya pandai berbicara tanpa bersumberkan kepada ilmu.Mereka ini juga menunaikan solat, berpuasa tetapi perbuatannya banyak dicemari dengan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak, perkataannya lebih banyak berdusta, seringkali mengingkari janji-janji yang dibuat, tidak amanah dengan sesuatu yang diberikan kepadanya, maka golongan ini amat berbahaya dalam masyarakat kerana pendustaan yang dibuat dengan menokok-nambah bahan-bahan cerita sehingga boleh mempengaruhi oranglain.
Umat Islam yang sengaja meninggalkan kefardhuan solat dihukum sebagai seorang yang fasiq.Allah SWT telah merakamkan dalam beberapa firmannya bahawa seandainya mereka tidak bertaubat, maka Nerakalah yang disediakan bagi mereka.Namun bagi golongan yang jahil seolah-olah menafikan apa yang telah disebut olah Allah SWT di dalam Al-Quran.Sememangnya bukanlah kita yang akan menentukan tempat seseorang itu samada dimasukkan ke dalam Syurga ataupun Neraka namun berdasarkan kepada firman-firman Allah, maka inilah yang kita jadikan hujah untuk memperingatkan mereka yang sengaja kufur dengan segala nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah.Bagi seseorang yang jahil ilmu agama akan berkata, "belum tentu lagi akan dimasukkan ke dalam Neraka bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat dengan sengaja, mana tahu esok lusa dia akan bertaubat!!!".Kita katakan Alhamdulillah, jika seseorang yang telah lalai akan bertaubat, namun memperingatkan seseorang dengan ancaman Allah adalah sesuatu yang dituntut bagi menyedarkan seseorang tentang kesesatan yang dilakukan.Namun sebagaimana lazimnya, sebanyak mana sekalipun dalil-dalil Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi kita bacakan kepada golongan yang jahil,tetap mereka akan menolaknya dengan sombong dan ego sehinggakan kita yang memperingatkannya akan dituduh sebagai seorang yang 'alim, seolah-olah kitalah yang menentukan nasib seseorang itu di kemudian hari, maka adalah lebih baik kita menjauhi daripada berhujah dengan golongan-golongan jahil sebegini yang tidak memahami landasan ilmu dengan sebenar-benarnya.

Monday, August 12, 2013

Kuliah Subuh Masjid Jamek Batu Kikir N.S.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT, dalam kesempatan berhari raya di kampung, Al-Faqir telah dijemput oleh Al-Fadhil Tuan Imam Masjid Jamek Batu Kikir, Tuan Guru Haji Ahmad Bin Haji Majid untuk menyampaikan kuliah Subuh pada 4 Syawal di masjid tempat kelahiran Al-Faqir sendiri.Di antara intipati kuliah yang disampaikan, Al-Faqir menyentuh tentang betapa pentingnya untuk kita menuntut ilmu sebagai pembenteng diri kepada amalan-amalan yang dilakukan.Berdasarkan kepada Hadis daripada Sayyidina Abdullah Ibn Abbas, bahawa Rasulullah Shallallahu Alayhi Wassalam bersabda,"Seorang faqih lebih digeruni oleh Syaitan berbanding seribu ahli ibadat"-HR Imam al-Tirmizi,Ibnu Majah dan selain dari mereka.Keteragan Hadis ini menunjukkan betapa ahli ibadat yang tidak mengusai ilmu, maka amat mudah bagi Syaitan memperngaruhinya sehinggakan dia menjadi begitu bangga dengan ibadatnya, berjemaah di masjid dan tidak pernah lekang untuk dia menceritakan kepada oranglain tentang ibadatnya sedangkan apabila diperhatikan dengan ibadat yang dilakukannya, banyak sekali cacat celanya.Dalam Surah Az-Zumar ayat ke 9 Allah berfirman,"Katakanlah, apakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui".Al-Faqir juga menyebut bagaimana Allah SWT mencela dalam Surah al-Maun dalam ayat ke 4 & 5,"Celakalah orang-orang yang solat, yakni mereka yang lalai dalam solatnya" sedangkan dalam Surah Al-Ankabut ayat 45, Allah berfirman,"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". Namun berapa ramai di kalangan kita yang bersolat, namun di luar solat masih lagi melakukan perkara-perkara yang lagha, suka bercakap bohong, meninggikan diri, suka memaki hamun oranglain, panas baran, bersikap hasad dengki melihat kelebihan oranglain darinya kerana solat yang dilakukan tidak bersumberkan kepada ilmu sebagaimana Baginda Nabi menyebut,"Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat daku bersolat".Maka bagaimana pula halnya bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja? Ulama bersepakat menghukum Fasiq, pelaku maksiat dan zalim bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka dalam Islam disuruh bertaubat dan jika tidak mahu juga bertaubat, maka dihukum pancung dan jenazahnya tetap diuruskan sebagai orang Islam, dikebumikan di tanah perkuburan Islam selagi dia beranggapan bahawa solat itu wajib tetapi sengaja meninggalkannya.Jika dia menganggap tidak wajib, maka dia menjadi murtad dan darahnya halal dibunuh, mayatnya tidak dimandikan, dimandikan, dikafankan dan disebut oleh Ulama, ia tidak jauh dari bangkai seekor anjing.Inilah dia betapa pentingnya solat wajib didirikan. Selain itu, Al-Faqir juga berpesan agar para jemaah memerhatikan tentang anak-anak yang duduk di kota yang banyak terpengaruh dengan fahaman-fahaman seumpama fahaman Wahhabiy dan Syiah yang jelas bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut kesepakatan jumhur Ulama.Ini jelas di mana anak-anak muda sudah tidak mahu lagi menghidupkan amalan-amalan yang baik seumpama berziarah kubur, bertahlil, membaca Al-Quran di kubur, menghidupkan sunnah-sunnah Nabi dengan berwirid selepas solat sebagaimana yang lazim dilakukan oleh Al-Fadhil Tuan Imam Masjid Jamek Batu Kikir, Tuan Guru Haji Ahmad yang merupakan anak kepada Ulama tersohor Negeri Sembilan, Al-Alim Al-Alamah Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Haji Abdul Karim, pengasas pondok Al-Majidiah Batu Kikir. Akhir sekali, Al-Faqir mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Imam yang sudi untuk menjemput Al-Faqir yang julung-julung kalinya menyampaikan kuliah di kampung kelahiran Al-Faqir sendiri dan Insya'allah, jika diberi kesempatan, Al-Faqir ingin juga mencurahkan ilmu sekadar mengikut apa yang diberi oleh Allah SWT kepada tempat kelahiran Al-Faqir sendiri dalam masa-masa mendatang.Semoga apa yang dikongsikan bersama para jemaah akan menjadi ibrah kepada seluruh yang hadir dan terus istiqamah menghidupkan amalan-amalan sunnah yang telah banyak ditinggalkan oleh generasi kini.

Selamat Hari Raya Idilfitri 1434H.

Pihak blog ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Idilfitri, Maaf Zahir Dan Bathin, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan terus istiqamah menjadi hamba Allah yang mengabdikan diri kepadaNya dengan aqidah yang sahih.