Tuesday, August 13, 2013

Jauhi Berdebat Dengan Orang Yang Jahil.

Ungkapan daripada Imam Asy-Syafie sememangnya ada kebenarannya.Adalah sesuatu yang sia-sia jika kita berdebat dengan seorang yang tidak memahami tentang landasan ilmu apatah lagi yang tidak pernah menadah kitab, mengadap seorang guru untuk mendapatkan ilmu.Golongan seperti ini hanya menggunakan akalnya yang cetek dengan dikuasai oleh nafsunya sendiri bagi menegakkan kebenaran tanpa ada nas Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi bagi menyokong perkataan mereka.Dalam satu Hadis Nabi melaknat mereka yang tidak memperdulikan seruan azan untuk menunaikan solat.Ini jelas bahawa setelah Islam tersebar dengan luasnya, maka tidak sepatutnya ada di antara umat Islam yang tidak mahu lagi melaksanakan solat.Jika seseorang yang bersolat sendirian di rumah pun, diancam oleh Baginda Nabi untuk membakar rumah-rumah mereka apatah lagi dengan meninggalkan solat dengan sengaja dan tidak pernah Nabi mendoakan kebaikan kepada yang meninggalkan solat dengan sengaja setelah perintah solat difardhukan kepada umat Islam.
Baginda Nabi juga telah mengingatkan kita tentang munculnya golongan munafiq yang hanya pandai berbicara tanpa bersumberkan kepada ilmu.Mereka ini juga menunaikan solat, berpuasa tetapi perbuatannya banyak dicemari dengan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak, perkataannya lebih banyak berdusta, seringkali mengingkari janji-janji yang dibuat, tidak amanah dengan sesuatu yang diberikan kepadanya, maka golongan ini amat berbahaya dalam masyarakat kerana pendustaan yang dibuat dengan menokok-nambah bahan-bahan cerita sehingga boleh mempengaruhi oranglain.
Umat Islam yang sengaja meninggalkan kefardhuan solat dihukum sebagai seorang yang fasiq.Allah SWT telah merakamkan dalam beberapa firmannya bahawa seandainya mereka tidak bertaubat, maka Nerakalah yang disediakan bagi mereka.Namun bagi golongan yang jahil seolah-olah menafikan apa yang telah disebut olah Allah SWT di dalam Al-Quran.Sememangnya bukanlah kita yang akan menentukan tempat seseorang itu samada dimasukkan ke dalam Syurga ataupun Neraka namun berdasarkan kepada firman-firman Allah, maka inilah yang kita jadikan hujah untuk memperingatkan mereka yang sengaja kufur dengan segala nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah.Bagi seseorang yang jahil ilmu agama akan berkata, "belum tentu lagi akan dimasukkan ke dalam Neraka bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat dengan sengaja, mana tahu esok lusa dia akan bertaubat!!!".Kita katakan Alhamdulillah, jika seseorang yang telah lalai akan bertaubat, namun memperingatkan seseorang dengan ancaman Allah adalah sesuatu yang dituntut bagi menyedarkan seseorang tentang kesesatan yang dilakukan.Namun sebagaimana lazimnya, sebanyak mana sekalipun dalil-dalil Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi kita bacakan kepada golongan yang jahil,tetap mereka akan menolaknya dengan sombong dan ego sehinggakan kita yang memperingatkannya akan dituduh sebagai seorang yang 'alim, seolah-olah kitalah yang menentukan nasib seseorang itu di kemudian hari, maka adalah lebih baik kita menjauhi daripada berhujah dengan golongan-golongan jahil sebegini yang tidak memahami landasan ilmu dengan sebenar-benarnya.

No comments: