Sunday, October 20, 2013

Majlis Ilmu Di Masjid-Masjid.

Masjid merupakan tempat yang begitu sesuai untuk diadakan majlis-majlis ilmu.Sesuatu masjid itu akan menjadi hidup apabila ia ditadbirkan oleh mereka yang tahu bagaimana untuk menjadikan sesebuah masjid itu senantiasa menjadi tumpuan umat Islam.Pada pengamatan al-Faqir, masjid seumpama Masjid Mudz Bin Jabal, Taman Setiawangsa, Masjid Nurul Hidayah Kg Pandan, Masjid al-Falah USJ9 dan beberapa lagi masjid seringkali menjadi tumpuan umat Islam berkunjung dan ini adalah di atas kebijaksanaan pihak yang mentadbir masjid itu sendiri.Majlis-majlis ilmu dihidupkan dengan menjemput para 'alim Ulama, pengajian berkitab juga diadakan, maka sesebuah masjid itu akan seronok dikunjungi oleh masyarakat yang dahagakan ilmu agama. Berbeza dengan masjid yang ditadbir oleh mereka yang tidak berkelayakan langsung sehinggakan masjid menjadi kaku, malah ia juga tidak minat dikunjungi oleh ahli kariah sendiri.Apakah kita berbangga dengan memaparkan gambar majlis ilmu seumpama di atas(yg di bawah) di masjid sedangkan ia amat memalukan kerana tidak ada sambutan dari masyarakat untuk menghadirinya.Ini disebabkan kelemahan pihak yang mentadbir masjid itu sendiri sehinggakan kuliah-kuliah yang diadakan amat lesu, disampaikan oleh mereka yang hanya sekadar mengisi ruang.Ini tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi jika kuliah-kuliah hanyalah disampaikan oleh Imam masjid sendiri sedangkan masyarakat mahu mendengar ilmu-ilmu dari mereka yang lebih 'arif lagi.Jika inilah berlaku dan tiada perubahan yang dilakukan, maka masjid hanyalah dilihat ramai apabila adanya program yang melibatkan golongan-golongan berkepentingan seumpama orang-orang politik.Maka dengan itu, tidak hairanlah jika masyarakat setempatpun tidak terpancing hatinya untuk mengunjungi masjid yang hanyalah terletak berdekatan dengan premis kediaman mereka kerana pihak yang dilantik untuk mentadbir masjid itu, bukanlah di kalangan mereka yang berkelayakan tetapi hanyalah yang berkepentingan.

Tuesday, October 15, 2013

Selamat Hari Raya Idil Adha 1434H

Alhamdulillah, dengan izin daripada Allah SWT, kita masih lagi diberi kesempatan dan ruang untuk menyambut Hari Raya Idil Adha dan sebagimana pada Hari Raya Idilfitri, al-Faqir telah menjadikan rumah al-Faqir untuk beberapa penduduk berkumpul membesarkan Allah SWT.Beberapa jemaah lelaki dan perempuan telah hadir dengan membawa beberapa juadah untuk dinikmati bersama dan ini merupakan satu nikmat anugerah Allah SWT ke atas hambaNya yang bersyukur. Sebelum itu pada Hari Ahad bersamaan 13 Oktober, Al-Faqir telah menyampaikan kuliah di Madrasah al-Huda Taman Keramat berkenaan perlaksanaan ibadat korban.Al-Faqir telah berpesan kepada petugas-petugas yang diberi amanah agar mengagihkan daging korban dengan adil dan saksama agar semua ahli kariah dapat menikmatinya walaupun sedikit.Sikap amanah amatlah dituntut dalam Islam dan bukannya mengagihkan daging korban kepada teman-teman yang merupakan kroni kita sahaja.Al-Faqir menyebutkan beberapa contoh di mana ada masjid-masjid yang di anggotai oleh ahli jawatankuasa yang dilantik daripada pengaruh politik telah tidak beramanah dalam menjalankan tugas.Bagaimana nak amanah jika mereka yang dilantik sebelum ini pun tidak pernah kelihatan berjemaah di masjid, maka benarlah sabda Nabi yang mahfumnya,Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a di mana seorang Arab Badwi bertanya, bilakah akan berlakunya Hari Kiamat, maka dijawab oleh Baginda Nabi setelah Baginda selesai menyampaikan ucapannya,"Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah Hari Kiamat".Ditanya oleh Arab Badwi tersebut,"Apakah yang dimaksudkan amanah telah disia-siakan?", lalu Baginda Nabi bersabda,"Apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat"(saat kehancuran). Al-Faqir juga menyampaikan Hadis daripada Imam Muslim, di mana Baginda Nabi menyebut,......"Maka apabila ditiadakan oleh Allah dengan mematikan para 'alim Ulama, maka ramai orang akan memilih orang yang jahil sebagai pemimpin mereka.Maka apabila orang jahil ini ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan.Mereka sesat dan menyesatkan orang lain".Al-Faqir memperumpamakan pemimpin di sini juga termasuk di kalangan para Imam, kerana Imam itu adalah pemimpin kepada masyarakat.Kebanyakan Imam-Imam juga dilantik berdasarkan kepada sijil yang diperolehi dan bukannya berdasarkan kefaqehan mereka dalam urusan agama untuk memimpin masyarakat.Dalam Sohih Muslim juga disebut,"Daripada Abu Wa'il r.a di mana Ammar r.a berkhutbah Juma'at dengan pendek dan memanjangkan solat Juma'at, maka dikatakan kepadanya,"Alangkah baiknya jika dipanjangkan khutbah, maka dijawab oleh Ammar r.a,"Aku mendengar Rasulullah bersabda,"Sesungguhnya siapa yang lama solatnya, pendek khutbahnya, menandakan orang itu faham tentang agamanya, maka dengan itu panjangkanlah solat dan pendekkan khutbah".Malangnya pada hari ini para Imam memendekkan solat Juma'at sedangkan Baginda Nabi senantiasa membaca Surah al-Juma'ah pada rakaat pertama dan Surah Munafiqun pada rakaat kedua.Adakalanya Nabi akan membaca Surah al-'Ala pada rakaat pertama dan Surah al-Ghasiyah pada rakaat kedua namun ini tidak diamalkan lagi oleh para Imam-Imam. Al-Faqir dan keluarga telah mendirikan solat Idil Adha di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan yang sering kami kunjungi dan sempat bersama-sama dalam mengimarahkan ibadat korban yang dilakukan.Semoga Allah menerima amalan yang kita lakukan dengan ikhlas dan tidak terikut-ikut dengan mereka yang hanya mementingkan jawatan semata-mata namun gagal dalam melaksanakan amanah yang dipikul dengan baik.

Sunday, October 13, 2013

Majlis Ilmu Di Masjid Saidina Hamzah Kg Batu Muda.

Alhamdulillah, dalam beberapa minggu ini al-Faqir sibuk memenuhi undangan menyampaikan kuliah di beberapa tempat seperti di Surau Darul Muhajirin, Taman Selaseh Fasa 2, Gombak, Surau al-Hidayah Taman Sunway Batu Caves, Surau Saidina Ali di Bukit Beruntung dan lain-lain.Apa yang nak dikongsikan ialah tentang kuliah al-Faqir yang bertajuk "Kemuliaan Ahli Ilmu" di Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda, Sentul. Di dalam kuliah tersebut, al-Faqir banyak membacakan Hadis-Hadis Nabi tentang martabat seorang ahli ilmu di sisi Allah berbanding dengan ahli ibadat.Di antaranya juga di sebut di mana daripada Abu Darda' berkata,"Aku pernah bersama Rasulullah dan melihat Baginda Nabi memandang ke langit dan bersabda,"Pada saat inilah ilmu dicabut daripada umatku sehingga mereka tidak dapat menahannya".Hadis yang panjang dengan periwayatan daripada satu sahabat ke satu sahabat ini diakhiri dengan ucapan Baginda Nabi,"Ilmu yang mula-mula sekali dicabut ialah kekusyukan di dalam solat dan jika engkau melihat begitu ramai yang solat di masjid yang besar, tidak ada seorangpun yang kusyuk".Keterangan Hadis ini ialah disebabkan ilmu tidak lagi diamalkan oleh umat Islam ketika ini maka mereka ini akan disiksa di dalam api Neraka kerana mensia-siakan ilmu yang telah dituntut. Maka dengan itu al-Faqir menyeru kepada semua para Imam-Imam, agar tidak meninggalkan sunnah-sunnah Nabi dengan sewenang-wenangnya.Para Imam-Imam yang dilantik, pastilah di kalangan mereka yang berilmu tetapi kebanyakan daripada mereka telah menguburkan sunnah-sunnah Nabi dalam memimpin solat sehinggakan wirid-wirid yang warid dari Hadis Nabi tidak dibaca, ketika Hari Juma'at, disebut bahawa baginda Nabi membaca Surah Al-'Ala dan Al-Ghasiah tetapi para Imam-Imam seolah-olah boleh berijtihad sendiri tanpa perlu mengikut apa yang diajar oleh Baginda Nabi.Kadang-kadang dilihat juga para Imam-Imam menaiki mimbar masjid untuk berkhutbah dan mengingatkan para jemaah agar mengikut sunnah-sunnah Nabi, tetapi amat malang apabila para Imam-Imam sendiri yang menguburkannya.Semoga apa yang al-Faqir sampaikan ini menjadi ibrah kepada para Imam-Imam masjid khasnya dan juga Imam-Imam surau, agar menunjukkan contoh terbaik dengan menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sehingga boleh diikuti oleh para jemaah.

Yang Haq Tetap Ditegakkan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PensyarahgagalsamanRM1juta/m/mArticle