Sunday, October 13, 2013

Majlis Ilmu Di Masjid Saidina Hamzah Kg Batu Muda.

Alhamdulillah, dalam beberapa minggu ini al-Faqir sibuk memenuhi undangan menyampaikan kuliah di beberapa tempat seperti di Surau Darul Muhajirin, Taman Selaseh Fasa 2, Gombak, Surau al-Hidayah Taman Sunway Batu Caves, Surau Saidina Ali di Bukit Beruntung dan lain-lain.Apa yang nak dikongsikan ialah tentang kuliah al-Faqir yang bertajuk "Kemuliaan Ahli Ilmu" di Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda, Sentul. Di dalam kuliah tersebut, al-Faqir banyak membacakan Hadis-Hadis Nabi tentang martabat seorang ahli ilmu di sisi Allah berbanding dengan ahli ibadat.Di antaranya juga di sebut di mana daripada Abu Darda' berkata,"Aku pernah bersama Rasulullah dan melihat Baginda Nabi memandang ke langit dan bersabda,"Pada saat inilah ilmu dicabut daripada umatku sehingga mereka tidak dapat menahannya".Hadis yang panjang dengan periwayatan daripada satu sahabat ke satu sahabat ini diakhiri dengan ucapan Baginda Nabi,"Ilmu yang mula-mula sekali dicabut ialah kekusyukan di dalam solat dan jika engkau melihat begitu ramai yang solat di masjid yang besar, tidak ada seorangpun yang kusyuk".Keterangan Hadis ini ialah disebabkan ilmu tidak lagi diamalkan oleh umat Islam ketika ini maka mereka ini akan disiksa di dalam api Neraka kerana mensia-siakan ilmu yang telah dituntut. Maka dengan itu al-Faqir menyeru kepada semua para Imam-Imam, agar tidak meninggalkan sunnah-sunnah Nabi dengan sewenang-wenangnya.Para Imam-Imam yang dilantik, pastilah di kalangan mereka yang berilmu tetapi kebanyakan daripada mereka telah menguburkan sunnah-sunnah Nabi dalam memimpin solat sehinggakan wirid-wirid yang warid dari Hadis Nabi tidak dibaca, ketika Hari Juma'at, disebut bahawa baginda Nabi membaca Surah Al-'Ala dan Al-Ghasiah tetapi para Imam-Imam seolah-olah boleh berijtihad sendiri tanpa perlu mengikut apa yang diajar oleh Baginda Nabi.Kadang-kadang dilihat juga para Imam-Imam menaiki mimbar masjid untuk berkhutbah dan mengingatkan para jemaah agar mengikut sunnah-sunnah Nabi, tetapi amat malang apabila para Imam-Imam sendiri yang menguburkannya.Semoga apa yang al-Faqir sampaikan ini menjadi ibrah kepada para Imam-Imam masjid khasnya dan juga Imam-Imam surau, agar menunjukkan contoh terbaik dengan menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sehingga boleh diikuti oleh para jemaah.

No comments: