Tuesday, October 15, 2013

Selamat Hari Raya Idil Adha 1434H

Alhamdulillah, dengan izin daripada Allah SWT, kita masih lagi diberi kesempatan dan ruang untuk menyambut Hari Raya Idil Adha dan sebagimana pada Hari Raya Idilfitri, al-Faqir telah menjadikan rumah al-Faqir untuk beberapa penduduk berkumpul membesarkan Allah SWT.Beberapa jemaah lelaki dan perempuan telah hadir dengan membawa beberapa juadah untuk dinikmati bersama dan ini merupakan satu nikmat anugerah Allah SWT ke atas hambaNya yang bersyukur. Sebelum itu pada Hari Ahad bersamaan 13 Oktober, Al-Faqir telah menyampaikan kuliah di Madrasah al-Huda Taman Keramat berkenaan perlaksanaan ibadat korban.Al-Faqir telah berpesan kepada petugas-petugas yang diberi amanah agar mengagihkan daging korban dengan adil dan saksama agar semua ahli kariah dapat menikmatinya walaupun sedikit.Sikap amanah amatlah dituntut dalam Islam dan bukannya mengagihkan daging korban kepada teman-teman yang merupakan kroni kita sahaja.Al-Faqir menyebutkan beberapa contoh di mana ada masjid-masjid yang di anggotai oleh ahli jawatankuasa yang dilantik daripada pengaruh politik telah tidak beramanah dalam menjalankan tugas.Bagaimana nak amanah jika mereka yang dilantik sebelum ini pun tidak pernah kelihatan berjemaah di masjid, maka benarlah sabda Nabi yang mahfumnya,Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a di mana seorang Arab Badwi bertanya, bilakah akan berlakunya Hari Kiamat, maka dijawab oleh Baginda Nabi setelah Baginda selesai menyampaikan ucapannya,"Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah Hari Kiamat".Ditanya oleh Arab Badwi tersebut,"Apakah yang dimaksudkan amanah telah disia-siakan?", lalu Baginda Nabi bersabda,"Apabila urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat"(saat kehancuran). Al-Faqir juga menyampaikan Hadis daripada Imam Muslim, di mana Baginda Nabi menyebut,......"Maka apabila ditiadakan oleh Allah dengan mematikan para 'alim Ulama, maka ramai orang akan memilih orang yang jahil sebagai pemimpin mereka.Maka apabila orang jahil ini ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan.Mereka sesat dan menyesatkan orang lain".Al-Faqir memperumpamakan pemimpin di sini juga termasuk di kalangan para Imam, kerana Imam itu adalah pemimpin kepada masyarakat.Kebanyakan Imam-Imam juga dilantik berdasarkan kepada sijil yang diperolehi dan bukannya berdasarkan kefaqehan mereka dalam urusan agama untuk memimpin masyarakat.Dalam Sohih Muslim juga disebut,"Daripada Abu Wa'il r.a di mana Ammar r.a berkhutbah Juma'at dengan pendek dan memanjangkan solat Juma'at, maka dikatakan kepadanya,"Alangkah baiknya jika dipanjangkan khutbah, maka dijawab oleh Ammar r.a,"Aku mendengar Rasulullah bersabda,"Sesungguhnya siapa yang lama solatnya, pendek khutbahnya, menandakan orang itu faham tentang agamanya, maka dengan itu panjangkanlah solat dan pendekkan khutbah".Malangnya pada hari ini para Imam memendekkan solat Juma'at sedangkan Baginda Nabi senantiasa membaca Surah al-Juma'ah pada rakaat pertama dan Surah Munafiqun pada rakaat kedua.Adakalanya Nabi akan membaca Surah al-'Ala pada rakaat pertama dan Surah al-Ghasiyah pada rakaat kedua namun ini tidak diamalkan lagi oleh para Imam-Imam. Al-Faqir dan keluarga telah mendirikan solat Idil Adha di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan yang sering kami kunjungi dan sempat bersama-sama dalam mengimarahkan ibadat korban yang dilakukan.Semoga Allah menerima amalan yang kita lakukan dengan ikhlas dan tidak terikut-ikut dengan mereka yang hanya mementingkan jawatan semata-mata namun gagal dalam melaksanakan amanah yang dipikul dengan baik.

No comments: