Monday, November 25, 2013

Ceramah Perdana Masjid Aleya Kuala Ina Pulau Sebang Melaka

Alhamdulillah, dengan izin dari Allah jua, al-Faqir telah dapat menyampaikan ceramah perdana di Masjid Aleya Kuala Ina Pulau Sebang Melaka. Ceramah bertajuk "Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah" bagi memberi pencerahan kepada umat Islam tentang bahaya fahaman Syiah dan Wahhabiy Mujassimah. Ceramah al-Faqir bermula pada jam 7:30 malam dan berakhir pada jam 9:15 malam telah dihadiri oleh begitu ramai masyarakat setempat dan juga dari luar daerah. Sememangnya majlis pencerahan sebegini perlu diperbanyakkan demi memperkasakan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah berteraskan kepada apa yang dibawa oleh Imam Abul Hassan al-Asya'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.Rata-rata para hadirin berpus-hati dengan apa yang disampaikan dan Insya Allah, pencerahan sebegini akan diteruskan lagi di daerah yang lain pula.Semoga apa yang disampaikan memberi input yang berharga kepada hadirin demi menjaga aqidah Ahlus Sunnah Wal Jmaah yang sebenarnya.

Thursday, November 21, 2013

Pembentangan Isu Syiah Di Dewan Sri Rembau

Alhamdulillah, dengan keizinan dari Allah, al-Faqir telah dapat membentangkan tentang kesesatan aqidah golongan Syiah bertempat di Dewan Sri Rembau Negeri Sembilan. Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Belia Daerah Rembau telah dihadiri oleh wakil-wakil dari beberapa ketua jabatan, Ketua-Ketua kampung, Imam-Imam dan Nazir masjid daerah Rembau Negeri Sembilan. Disamping itu juga al-Faqir turut menyelitkan tentang penyelewengan fahaman Wahhabiy yang ramai di kalangan masyarakat masih lagi kabur tentangnya.Pembentangan al-Faqir dengan beberapa isu yang panas diselangi juga dengan sesi soal-jawab dan ternyata para hadirin begitu teruja mendengarkan apa yang disampaikan, malah ada di antara mereka akan mendapatkan khidmat al-Faqir untuk membentangkan tentang kedua-kedua isu yakni tentang Wahhabiy dan Syiah di masjid-masjid di daerah Rembau Negeri Sembilan. Terima Kasih diucapkan kepada Saudara Mahadzir Mustapha merangkap Pengerusi Majlis Belia Daerah Rembau yang sudi menjemput al-Faqir untuk memberi pencerahan tentang isu aqidah kepada masyarakat.

Saturday, November 16, 2013

Sambutan Maal Hijrah 1435 & Hari Asyura.

Alhamdulillah, dengan keizinan dari Allah SWT jualah, dapat al-Faqir menyempurnakan jemputan ke Majlis Sambutan Hari Asyura pada 14 Nov. 2013 di Masjid al-Irsyad USJ1.Program bermula dengan berbuka puasa dan kuliah khas disampaikan seusai solat Maghrib. Kemudian pada 15 Nov. keesokan harinya al-Faqir telah dijemput untuk menggantikan tempat al-Fadhil Ustaz Hj Zamihan al-Ghari bagi menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Daerah Tampin di Dataran Gemas. Walaupun kehadiran al-Faqir agak lewat namun para hadirin yang begitu ramai tetap menunggu dengan sabar bagi sama-sama mendapatkan ibrah tentang maksud hijrah itu sendiri. Al-Faqir juga sempat berpesan kepada anak-anak tahfiz yang hadir pada malam tersebut agar menghidupkan sunnah-sunnah Baginda Nabi jika kelak menjawat jawatan sebagai Imam di mana-mana masjid ataupun surau. Ini disebabkan kebanyakan Imam-Imam seolah-olah boleh berijtihad sendiri tanpa merujuk kepada kitab-kitab fikih dan Hadis2 Nabi untuk memimpin jemaah ketika menjadi Imam. Al-Faqir memeberi contoh di mana beberapa masjid terutama sekali yang berdekatan dengan rumah al-Faqir di Desa Pandan, para-para Imam tidak menyempurnakan tuntutan solat sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Nabi dalam sepotong Hadis yang mahfumnya, "Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat daku bersolat". Semoga apa yang disampaikan akan dijadikan satu pengajaran terutamanya bagi yang malas untuk menghidupkan solat berjemaah di masjid2 dan surau2, agar mereka berhijrah dengan memperbaiki amalan mereka. Sekalung ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, semoga Allah jualah yang akan memberikan ganjaran pahala di atas usaha kita dalam menghidupkan majlis-majlis yang baik bagi memberi menafaat kepada umat.

Saturday, November 9, 2013

Hijrah Demi Kebaikan.

Dalam satu Hadis, Baginda Nabi bersabda yang mahfumnya,"Tidak ada hijrah lagi sesudah (Fath)terbukanya Mekah tetapi hijrah dengan niat dan jihad". Al-Faqir merasakan satu ketenangan apabila menunaikan solat berjemaah di Masjid Nurul Islam di Kg Perwira Desa Pahlawan apabila para Imam-Imamnya memimpin solat dengan baik tanpa meninggalkan sunnah-sunnah Nabi yang warid dari Hadis Nabi. Berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lebih baik amat dituntut dalam Islam apabila kita dapat mengamalkan segala ilmu dan merasa aman dengan pimpinan Imam-imam tatkala kita berjemaah.Amat malang jika masjid yang dipimpin oleh Imam-Imam yang tidak mempertimbangkan akhirat jemaahnya sehinggakan dengan sengaja menguburkan sunnah-sunnah Nabi sedangkan semuanya itu ada ganjaran dan fadhilatnya di sisi Allah sebagaimana yang disebut oleh Baginda Nabi sendiri. Di bawah ini Al-Faqir pertontonkan video di mana Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, salah seorang Ulama tersohor Nusantara yang diberi jolokan Azaharus at-Thani memberi pencerahan kepada salah seorang Imam dari Yaman, bagaimanakah seharusnya seorang Imam memimpin jemaah.Semoga dengan paparan ini membuka mata dan hati para Imam-Imam yang masih lagi dengan kedegilan dan keegoaannya untuk menerima kebenaran sehinggakan sanggup menguburkan sunnah-sunnah Nabi dengan sengaja.

Tuesday, November 5, 2013

Sambutan Ma'al Hijrah 1435.

Alhamdulillah, dengan kemurahan dari Allah SWT yang masih lagi memberi kita peluang hidup untuk terus mengabdikan diri kepadaNya. Sambutan Maal Hijrah 1435 telah bersemarak di sana sini dengan beberapa program yang diadakan. Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di Surau al-Ikhlas Kg Berembang Ampang di mana program bermula pada jam 6:30 ptg dengan lantunan zikir munajat, diikuti dengan bacaan doa akhir tahun, kemudian sejurus selepas azan Maghrib dikumandangkan, maka doa awal tahun pun dibaca. Di antara intipati dalam ceramah al-Faqir, senantiasa mengingatkan para jemaah agar membuat pembaharuan dalam diri peribadi dengan mengisi dada dengan ilmu agama.Selain itu al-Faqir menekankan betapa pentingnya untuk kita berhijrah dari satu tempat yang kurang baik ke tempat yang boleh memberi menafaat kepada kita untuk mengamalkan ilmu yang dituntut. Al-Faqir sendiri terpaksa melakukan hijrah di mana dari satu masjid berhampiran rumah yang dilihat tidak banyak pengisian ilmu yang dibuat dan jika adapun, sekadar melepaskan batuk di tangga dan al-Faqir berhijrah ke masjid di mana Imam-Imam yang memimpin jemaah lebih dipercayai kewibawaannya dengan mengamalkan segala tuntutan hukum melalui apa yang diajar oleh Baginda Nabi sendiri. Masjid tidak salah tetapi yang salahnya, golongan-golongan yang mengambil kesempatan dalam mentadbir masjid yang terdiri daripada mereka-mereka yang berkepentingan sahaja. Disamping itu, Al-Faqir menekankan tentang betapa pentingnya menuntut ilmu akidah yang sohih sebagaimana ianya telahpun dianuti oleh jumhur Ulama, itulah akidah Asya'irah Maturidiah. Selain itu, al-Faqir menyeru agar semua jemaah menghidupkan amalan-amalan sunnah seumpama berwirid selepas solat dan ini ditekankan kepada para Imam-Imam yang menjadi pemimpin agar memberi keselamatan akhirat kepada umat dengan menghidupkan sunnah-sunnah Nabi. Tidak selayaknya seseorang yang menghafal surah-surah Al-Quran tanpa mengamalkannya atau sekadar membacakan Hadis-Hadis Nabi tetapi tidak diamalkannya sedangkan jika bacaan Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi itu dimasukkan ke dalam alat perakam mp3, tetap juga alat itu boleh menghafalkannya tetapi tidak mengamalkannya.Semoga tahun hijrah kali ini dapat diadaptasikan dalam kehidupan seharian kita dengan melazimkan berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau ataupun hidupkan berjemaah sekali sekala bersama keluarga di rumah. "SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1435.