Tuesday, November 5, 2013

Sambutan Ma'al Hijrah 1435.

Alhamdulillah, dengan kemurahan dari Allah SWT yang masih lagi memberi kita peluang hidup untuk terus mengabdikan diri kepadaNya. Sambutan Maal Hijrah 1435 telah bersemarak di sana sini dengan beberapa program yang diadakan. Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di Surau al-Ikhlas Kg Berembang Ampang di mana program bermula pada jam 6:30 ptg dengan lantunan zikir munajat, diikuti dengan bacaan doa akhir tahun, kemudian sejurus selepas azan Maghrib dikumandangkan, maka doa awal tahun pun dibaca. Di antara intipati dalam ceramah al-Faqir, senantiasa mengingatkan para jemaah agar membuat pembaharuan dalam diri peribadi dengan mengisi dada dengan ilmu agama.Selain itu al-Faqir menekankan betapa pentingnya untuk kita berhijrah dari satu tempat yang kurang baik ke tempat yang boleh memberi menafaat kepada kita untuk mengamalkan ilmu yang dituntut. Al-Faqir sendiri terpaksa melakukan hijrah di mana dari satu masjid berhampiran rumah yang dilihat tidak banyak pengisian ilmu yang dibuat dan jika adapun, sekadar melepaskan batuk di tangga dan al-Faqir berhijrah ke masjid di mana Imam-Imam yang memimpin jemaah lebih dipercayai kewibawaannya dengan mengamalkan segala tuntutan hukum melalui apa yang diajar oleh Baginda Nabi sendiri. Masjid tidak salah tetapi yang salahnya, golongan-golongan yang mengambil kesempatan dalam mentadbir masjid yang terdiri daripada mereka-mereka yang berkepentingan sahaja. Disamping itu, Al-Faqir menekankan tentang betapa pentingnya menuntut ilmu akidah yang sohih sebagaimana ianya telahpun dianuti oleh jumhur Ulama, itulah akidah Asya'irah Maturidiah. Selain itu, al-Faqir menyeru agar semua jemaah menghidupkan amalan-amalan sunnah seumpama berwirid selepas solat dan ini ditekankan kepada para Imam-Imam yang menjadi pemimpin agar memberi keselamatan akhirat kepada umat dengan menghidupkan sunnah-sunnah Nabi. Tidak selayaknya seseorang yang menghafal surah-surah Al-Quran tanpa mengamalkannya atau sekadar membacakan Hadis-Hadis Nabi tetapi tidak diamalkannya sedangkan jika bacaan Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi itu dimasukkan ke dalam alat perakam mp3, tetap juga alat itu boleh menghafalkannya tetapi tidak mengamalkannya.Semoga tahun hijrah kali ini dapat diadaptasikan dalam kehidupan seharian kita dengan melazimkan berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau ataupun hidupkan berjemaah sekali sekala bersama keluarga di rumah. "SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1435.

No comments: