Monday, December 30, 2013

Kuliah Maghrib Di Masjid Naza TTDI Shah Alam.

.
Alhamdulillah, al-Faqir telah diberi kesempatan untuk menyampaikan kuliah di Masjid Naza TTDI Shah Alam yang begitu indah sekali senibinanya.Dalam kuliah kali ini al-Faqir lebih menekankan tentang ingatan kepada kematian di mana ianya adalah sesuatu yang tidak boleh kita elakkan dan kita akan menempuhinya.Maka dengan itu, segala kesempatan, peluang, umur yang diberi oleh Allah hendaklah dipergunakan sebaik mungkin dengan mengumpul segala bekalan yang akan dibawa ke akhirat.Beberapa potong ayat Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi telah dibacakan sebagai mengingatkan masyarakat agar senantiasa berwaspada dan selalu bermuhasabah dari bahawa kematian itu setiap hari mengintai-intai kita.Malangnya kebanyakan masyarakat telah dilalaikan dengan kebendaan duniawi serta gemar mengumpulkan harta dunia sehingga terlalu sibuk menguruskan harta menyebabkan tidak sempat untuk menuntut ilmu, hatta untuk berjemaah di masjid-masjid juga tidak disempurnakan.Apakah umat Islam hari ini menyangka bahawa harta kekayaan yang dimilikinya akan berkekalan sedangkan apabila mereka dimatikan, segala usaha yang dilakukan akan diwarisi pula oleh anak-anak yang tidak memenafaatkan harta tersebut ke jalan akhirat.Semoga apa yang disampaikan akan menjadi ibrah kepada jemaah yang hadir dan senantiasa mengingatkan diri tentang azab kubur, azab di Padang Masyar dan sebagainya.

Saturday, December 21, 2013

Program Maulid Di IKIM FM.

Alhamdulillah, pada 19 Disember 2013, al-Faqir telah dijemput untuk bersama-sama dalam program Maulid di Radio IKIM FM dengan mengalunkan lantunan qasidah bagi mengiringi tausiyah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj Joll.Bagi menyempurnakan program yang diadakan, al-Faqir telah menjemput kumpulan Amwarul Madad yang diketuai oleh Saudara Irwan dan hasil gabungan itu amat digemari oleh para pendengar setia radio IKIM FM. Semoga qasidah-qasidah yang dilantunkan akan membangkitkan lagi rasa Mahabah dan cinta kita kepada Baginda Nabi yang merupakan makhluk yang terpuji dengan kesempurnaannya.Terima Kasih diucapkan kepada radio IKIM FM yang telah sudi menjemput al-Faqir dalam program "live" di IKIM, semoga Allah jualah yang membalas usaha penerbit rancangan tersebut yang banyak memberi menafaat kepada umat Islam.

Monday, December 16, 2013

Kuliah Subuh Masjid Saidina Hamzah, Kg Batu Muda.

Alhamdulillah, kuliah Subuh al-Faqir pada 15 Disember di Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda telah dihadiri oleh ramai para jemaah.Tajuk yang diminta oleh Nazir Masjid, Tuan Haji Wan ialah "Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah Mengikut Mazhab Asya'irah wal Maturidiyyah".Ini adalah satu tajuk yang sepatutnya diperluaskan kepada semua masyarakat apatah lagi para hari ini pemikiran umat Islam telah banyak diselewengkan oleh fahaman-fahaman yang mengaku juga sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah tetapi sebenarnya membawa pemikiran Tasyhbih dan Tasjim.Pemikiran Mujassimah telah disuntik dengan begitu halus oleh beberapa pihak yang membawa fahaman Wahhabiy dengan menghukum Asya'irah sebagai jahmiyyah dan sesat sedangkan Madzhab Asya'irah telah dianuti dalam aqidahnya oleh seluruh para Ulama Muktabar yang menguasai bidang Hadith, Tafsir dan Feqah. Selain itu al-Faqir juga mengingatkan para Imam-Imam agar menghidupkan sunnah-sunnah Nabi dengan mengamalkan wirid-wirid yang warid dari Hadith Nabi setiap kali selesai memimpin solat fardhu.ia bertetapan dengan Hadith Nabi yang berbunyi,"Sesungguhnya zikrullah itu menyakitkan syaitan seperti menderitanya anak Adam dengan penyakit pemakanan yang bersarang di perutnya".Saranan al-Faqir itu disebabkan ada di antara para Imam-Imam di masjid yang tidak menjadi asbab terampunnya dosa para jemaah dan terhindarnya para jemaah dari gangguan jin dan iblis laknatullah apabila dengan sengaja malas membaca wirid-wirid yang telah diajar oleh Baginda Nabi dengan fadhilat-fadhilat yang banyak sekali.Semoga pencerahan tentang Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dibentangkan, memberi kefahaman yang lebih luas lagi kepada para hadirin.

Tuesday, December 3, 2013

Pengajian Solat Nabi Mengikut Madzhab Syafi'e

Alhamdulillah, dengan izin dari Allah, al-Faqir masih lagi boleh meneruskan pengajian Kitab Solat Nabi Menurut Madzhab Syafi'e di beberapa masjid dan surau di sekitar Lembah Kelang. Al-Faqir menunjukkan juga secara praktikal bagaimanakan solat yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi melalui beberapa rangkaian Hadis.Di antara yang ditekankan ialah bagaimanakan secara sunnah mengangkat takbir, sunat untuk mengangkat tangan pada empat tempat, selain takbiratul-ihram, ketika hendak ruku', ketika bangun dari ruku' yakni iktidal dan ketika bangun dari tasyahud awal, semuanya dalam posisi yang sama di mana ada di antara para Imam dan jemaah meremehkannya sedangkan ada ganjaran sunat jika dilakukan. Selain itu ditunjukkan juga keadaan jari jemari ketika takbiratul-ihram, ruku', qiam, duduk Iftrasy yang sempurna dengan menegakkan kaki kanan sebagaimana yang disebut dalam Hadis riwayat Imam Bukhari & Imam Baihaqi, "Adalah Nabi Shallalahu Alayhi Wassalam menegakkan kaki kanannya ketika duduk Istirasy dan duduk Tawarruk. Namun cara solat Nabi ini seringkali diabaikan juga oleh para Imam-Imam masjid dan surau sehingga mereka berijtihad sendiri dalam memimpin solat para jemaah.Seorang Ulama Nusantara yang tersohor iaitu Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki pernah mengungkapkan bahawa belum selayaknya seseorang itu menjadi Imam jika tidak pernah mengaji kitab-kitab fikih dan Hadis-Hadis Nabi dan hafalan surah-surah Al-Quran bukanlah satu jaminan bagi seseorang itu layak menjadi Imam. Semoga pengajian seumpama ini dapat diperluaskan oleh beberapa asatizah yang lain bagi memberi menafaat kepada masyarakat betapa pentingnya solat dilaksanakan mengikut apa yang disebut oleh Baginda Nabi,"Bersolatlah kalian sebagaimana kamu melihat daku bersolat".