Friday, April 18, 2014

Solat Nabi Mengikut Madzhab Asy-Syafie

Dalam satu kuliah khas al-Faqir di Institut Latihan Perusahaan Jalan Kuchai Lama, telah ditunjukkan cara solat yang sohih sebagaimana yang diajar oleh Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam daripada bermulanya wudhu' hinggalah melengkapkan bacaan-bacaan wirid dan doa.Pengajian solat ini begitu penting sekali dan al-Faqir juga menekankan kepada amanah yang dipikul oleh seorang Imam apabila memimpin solat berjemaah. Dari pengamatan al-Faqir sendiri, kebanyakan Imam-Imam masjid tidak menunjukkan "Qudwah Hasanah" kepada ahli jemaah, samada ketika memimpin solat ataupun ketika menjadi makmum.Kebanyakan Imam tidak mengambil berat untuk mempelajari bab solat kerana menyangka diri mereka sudah dapat menyempurnakan solat dan ini amat-amat tidak wajar kepada seorang Imam. Sewaktu mereka memimpin solat,para Imam akan membaca wirid-wirid tetapi di saat mereka menjadi makmum, mereka akan beredar sebaik saja memberi salam. Namun ada juga Imam yang tidak mencukupkan bilangan wirid-wirid dan ada di antaranya beralasan kerana mereka tinggal di tempat lain, maka wirid-wirid tidak dibaca kerana Imam sendiri terburu-buru mengejar dunia. Seperkara yang al-Faqir sentuh ialah ada di antara mereka yang sebenarnya tidak berkelayakan menjadi Imam sehinggakan tidak mampu memnghafal surah Sjadah dan al-Insan ketika memimpin solat Subuh di hari Juma'at tetapi memandangkan imbuhan yang akan diterima, maka mereka tetap ingin juga menjadi Imam.Malah ada di antara mereka yang bertugas di dua buah masjid tetapi sekadar melengkapkan tugas, kemudian tidak peduli apa yang berlaku di masjid dan ini semua menunjukkan betapa mereka hanya mementingkan soal imbuhan dan bukan untuk beramanah dengan tugasan yang diberi. Imam Sufyan at-Tsauri menyebut pesanan ibunya yang bermaksud,"Wahai anakku, janganlah engkau sekali-kali mempelajari satu ilmu melainkan setelah engkau berniat untuk beramal dengan ilmu tersebut, jika tidak, maka ia akan merupakan bala bagi kamu pada hari akhirat kelak". Di dalam Kitab As-Siraajul Munir, Imam Asy-Syarbini menaqalkan di mana ketika Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam di Isra'kan, Baginda Nabi melihat sekelompok orang yang menggunting bibirnya dengan gunting besi, maka ditanyakan kepada Jibril alaihisalam, siapakah mereka itu, maka dijawab oleh Jibril alaihisalam...."Itulah khatib-khatib di kalangan umatmu". Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam sering berdoa yang bermaksud,"Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari ilmu yang tidak berguna dan hati yang tidak kusyuk serta amal yang tidak diangkat serta doa yang tidak diterima". Maka berhati-hatilah jika kita ingin menjawat jawatan sebagai Imam, ikhlaskan diri dengan beramal sebagaimana yang disebut dalam Hadis-Hadis Nabi, dan janganlah hanya ingin dilihat oleh manusia sebagai Imam sahaja di atas mimbar tetapi jadilah Imam yang bertanggung-jawab.

Rakaman Bersama TV al-Hijrah -Demi Akidah Kami Dedah.

Al-Faqir telah dijemput untuk menjayakan rakaman program bersama TV al-Hijrah bertajuk Isu Akidah dan rakaman telah diadakan di Masjid Sultan Mizan Putrajaya pada 17 April 2014.Isu akidah adalah berkisarkan kepada kesyirikan yang dilakukan oleh masyarakat Jawa yang bermain kuda kepang.Insya Allah, siaran rancangan ini akan ke udara di TV al-Hijrah pada 30 April 2014, Rabu jam 9.00 malam.

Kuliah Dhuha Di JAIS

Alhamdulillah, ini merupakan satu penghormatan yang diberikan kepada al-Faqir kerana pada 11 April 2014, Juma'at, jam 9.30 pagi telah menyampaikan kuliah dhuha di Menara Utara Jabatan Agama Islam Selangor. Di antara intipati kuliah al-Faqir ialah tentang beberapa fadhilat berselawat kepada Baginda Nabi Shallallhu 'alaihi wassalam di mana al-Faqir telah menyentuh tentang program Malam Cinta Allah dan Rasul yang ada sebilangan golongan yang membida'ahkan amalan-amalan yang baik ini. Selain itu al-Faqir menyeru para hadirin agar senantiasa istiqamah dalam menghidupkan sunnah-sunnah Nabi yang kini banyak dikuburkan terutamanya oleh sebahagian Imam-Imam masjid.Semoga apa yang disampaikan dapat dimenafaatkan oleh semua yang hadir dan juga bertindak untuk memastikan segala amanah yang dipikul dilaksanakan dengan penuh tanggung-jawab agar agama Islam dapat dimartabatkan dan dipandang tinggi oleh non-Muslim.