Sunday, May 25, 2014

Ceramah Perdana Israk Wal Mikraj

Insya Allah, al-Faqir akan menyampaikan ceramah perdana berkenaan peristiwa Isra Wal Mikraj pada 27 May 2014 di Surau Darul Hidayah Taman Pinggiran Batu Caves Gombak. Kupasan tentang beberapa ibrah akan disampaikan tentang beberapa peristiwa yang dilihat oleh Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam yang diperlihatkan oleh Allah sewaktu perjalanan yang begitu jauh tetapi mengambil masa yang begitu singkat sekali dan ini merupakan di antara mukjizat Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam yang terbesar sebagaimana yang disebut oleh al-Imam Yusof An-Nabhani, ianya mengandungi lebih 3000 mukjizat.Semoga apa yang disampaikan dapat menjadi pengajaran kepada jemaah yang hadir.

Sunday, May 11, 2014

Pengajian Kitab Kifayah al-Muhtaj

Alhamdulillah, dalam beberapa siri pengajian al-Faqir sempena bulan Rejab lebih tertumpu kepada pengajian Kitab Kifayah al-Muhtaj yang menceritakan kisah Isra' Wa Mikraj. Ada banyak peristiwa-peristiwa besar yang berlaku pada bulan Rejab, di antaranya hijrah Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam ke Negara Habsyah yakni Ethopia, Penaklukan Baitul Maqdis oleh Sultan Salahuddin al-Ayubi, kelahiran Imam as-Syafie rahimahullah, peperangan Tabuk dan berbagai-bagai lagi. Namun al-Faqir lebib tertumpu kepada berlakunya peristiwa Isra' Wal Mikraj di mana bermulanya kefardhuan solat kepada Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam dan umatnya. Selain itu al-Faqir juga menyentuh tentang ketidakperihatinan beberapa pihak tentang datangnya salah satu bulan yang disebut sebagai Asyhurul Haram, itulah dia bulan Rejab selain Muharram, Zulhijjah dan Zulkaedah. 1 Rejab bermula pada malam 30 April 2014, Rabu selepas azan Maghrib dan pada 1 Mei siangnya adalah 1 Rejab. Amat malang sekali apabila pada 2 Mei, Hari Juma'at, khatib hanya membaca khutbah tentang hari pekerja sehinggakan keutamaan Rejab dilupakan. Lebih malang lagi apabila khatib menyeru agar umat Islam beramanah dengan tugasan mereka, namun sebaliknya khatib sendiri tidak beramanah sehinggakan sanggup menguburkan sunnah-sunnah Nabi Shallallallhu alaihi wassalam pada hari Jumaat yang begitu mulia.Hadis Baginda Nabi menyebut,""Sesungguhnya siapa yg lama solatnya, pendek khutbahnya, menandakan orang itu faham tentang agamanya".Amat mendukacitakan apabila seringkali khatib yang bertugas di masjid berhampiran rumah al-Faqir di Desa Pandan, membaca Surah al-Fil dan An-Nasr dan kadangkala hanya membaca Surah al-Kafirun dan al-Ikhlas dalam solat Jumaat, kemudian meninggalkan segala wirid-wirid yang warid dari Hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam.Sesungguhnya tidak keterlaluan sebagaimana yang disebut oleh Ulama Nusantara Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, para Imam-Imam adalah orang yang pertama menguburkan sunnah-sunnah Nabi Shallallhu 'alaihi wassalam.Apakah mereka tidak takut dengan balasan di akhirat bagi mereka yang tidak mengamlkan ilmunya atau bertugas hanyak untuk mendapatkan imbuhan dan pandangan masyarakat sahaja terhadap mereka yang jahil.Tepuk dada, tanyalah Iman.

Sedutan Isu Aqidah TV al-Hijrah

Sunday, May 4, 2014

Ilmu Tanpa Amal.

Dalam beberapa siri kuliah al-Faqir, seringkali al-Faqir ingatkan agar kita senantiasa beramal dengan ilmu yang telah kita ketahui.Imam al-Ghazali rahimahullah menyebut di dalam Kitab Ayuhal Walad, "Amal Tanpa Ilmu Adalah Sia-Sia Dan Ilmu Tanpa Amal Adalah Gila". Malang sungguh bagi mereka yang telah dikurniakan ilmu oleh Allah SWT tetapi telah mempersia-siakannya seumpama seseorang yang mempunyai senjata yang banyak, tetapi hanyalah disimpan sahaja. Kebanyakan yang berlaku sedemikian ialah kepada para Imam-Imam terutamanya golongan muda yang terlalu teruja untuk menjadi seorang Imam. Tidak salah bagi golongan muda untuk menjadi Imam namun mereka sepatutnya lebih memahami betapa pentingnya tentang seseuatu ilmu itu untuk diamalkan.Jangan hanya menjadi Imam untuk dilihat oleh orangramai sahaja menaiki mimbar dengan khutbahnya tetapi telah tidak beramal dengan apa yang telah disampaikan oleh Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam.Disebabkan kejahilan masyarakat, maka mereka hanya melihat kepada penampilan seorang Imam sedangkan mereka tidak beramal dengan ilmu dan buktinya amat jelas dengan bacaan-bacaan surah yang senantiasa dibaca secara melompat-lompat, tidak membaca wirid-wirid selepas solat, hatta tidak berpakaian secara sunnah ketika menjadi Imam pada Hari Juma'at. Semoga apa yang al-Faqir sampaikan kepada kebanyakan jemaah hatta kepada para Imam-Imam di masjid-masjid dan surau-surau di mana al-Faqir berceramah, akan menjadi pengajaran kepada mereka dan senantiasa beramal dengan ilmu yang telah diketahui.