Tuesday, July 29, 2014

Tazkirah Akhir Ramadhan 1435H

Alhamdulillah, dengan keizinan dari Allah jua, al-Faqir dapat melengkapkan semua jemputan tazkirah Ramadhan di beberapa buah surau dan masjid di sekitar Lembah Kelang. Pada 22 Julai 2014, al-Faqir telah menyampaikan tazkirah di Surau At-Taqwa Seksyen 7 Shah Alam dan berakhir pada 24 Julai di Surau al-Firdaus Taman Kembangsari Serdang dengan memimpin majlis khatam al-Quran dan melantunkan beberapa rangkaian qasidah.Sebelum itu al-Faqir telah dijemput untuk memimpin solat tarawih, ceramah dan kuliah Subuh di Masjid Sungai Bongsu Kulim Kedah. Semoga perjalanan dakwah al-Faqir dapat diteruskan di masa-masa akan datang dengan jemputan meluas dari pihak masjid dan surau-surau yang kebanyakannya adalah di luar kawasan tempat al-Faqir sendiri.Sememangnya lumrah dan ujian dalam berdakwah, adakalanya di tempat sendiri kita tidak dipandang oleh masyarakat tetapi itu tidak menghalang untuk al-Faqir menyampaikan ilmu kepada masyarakat yang dahagakan ilmu.Baginda Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam sendiripun terpaksa berhijrah untuk menyampaiakan dakwahnya, maka apatah lagi dengan kita yang tidak ada langsung kemuliaannya jika nak dibandingkan dengan Sayyidina Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam.Maka tidak hairanlan jika ada di antara masjid-masjid di tempat berhampiran kediaman al-Faqir sendiri di Desa Pandan tidak mahu menjemput, mungkin juga takut jika penyampaian ilmu al-Faqir secara tegas akan mengenai batang hidung mereka sendiri.Maka benarlah Sabda Baginda Nabi di mana di akhir zaman, masyarakat takut untuk mendekati Ulama kerana bimbang perbuatannya ditegur dan yang lebih bimbang ialah para Imam-Imam yang seringkali al-Faqir tegur secara tegas agar menyempurnakan solat sebagaimana Hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam menyebut,"Bersolatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Daku Bersolat".Malangnya masyarakat adakalanya tertipu dengan penampilan mereka yang sebenarnya ada di antaranya tidak pernahpun bertalaqi kitab-kitab fiqh dan Hadis-Hadis Nabi bersama para Ulama.Semoga Allah akan membuka hati mereka yang tertutup agar menerima kebenaran walaupun pahit dan bukannya semata-mata memegang jawatan untuk mendapatkan imbuhan duniawi sahaja.

No comments: