Monday, September 29, 2014

Catatan Kuliah Sepanjang Bulan September 2014.

Sudah agak lama juga tidak mengemaskini blog ini disebabkan kesibukan al-Faqir dalam beberapa program yang telah dijadualkan. Di antaranya ialah jemputan untuk membuat persembahan Qasidah, ceramah dan juga duduk dalam beberapa pengajian yang dikendalikan oleh beberapa Ulama yang datang ke negara ini.Namun di sini dicatatkan serba sedikit penyampaian kuliah al-Faqir kepada anak-anak muda yang bakal menjadi pendakwah satu masa nanti agar dapat dijadikan pedoman.Di antaranya ialah tentang Hadis akhir zaman yang disebut oleh Baginda Nabi ﷺ ,"Rasulullah ﷺ bersabda,"Ya Allah, Jangan kau temukan aku dan mudah2an kamu sahabat tidak bertemu di mana satu zaman di mana para 'alim Ulama sudah tidak diikuti lagi dan orang yg penyantun sudah tidak disegani lagi.Hati mereka seperti hati orang Ajam pada fasiqnya, lidah mereka seperti lidah orang Arab pada fasihnya" Inilah zamannya di mana masyarakat sudah menjauhi Ulama kerana takut perbuatannya ditegur dan golongan ini juga pandai bercakap memutar-belitkan kenyataan sehingga memikat orang lain. Zaman ini adalah zaman di mana orang-orang jahil yang menilai ahli ilmu berbanding dengan zaman dahulu, para 'alim Ulama menjadi ikutan orang, bila kebenaran disampaikan, maka akan disekat daripada menyampaikan ilmu, maka sijahil yang menduduki kuasa akan menjawab di hadapan Allah satu persatu perbuatannya, ilmu dan nasihat wajib disampaikan tetapi disebabkan takut dengan makhluk, akhirnya ilmu disembunyikan demi mendapat habuan dunia yang sedikit.Ini disebabkan adanya golongan-golongan yang jahil menduduki tempat di dalam beberapa masjid sebagai Ahli Jawatankuasa dan ilmuan yang dijemput pula takut untuk berkata tentang kebenaran seolah-oleh sudah dicucuk hidungnya. Berkata Imam Asy-Syafie رحمه الله ...."sedangkan Allah dikatakan ada anak, Nabi ﷺ dituduh gila, apatah lagi dengan aku ini untuk diperkatakan oleh orang..." maka dalam berdakwah, jangan takut dengan cakap-cakap manusia yang jahil, sebut sahaja, mana Ulama yang tidak terlepas dari mehnah, fitnah dan tuduhan buruk dari manusia yang tidak memahami landasan ilmu, mengaji secara bertalaqipun tak pernah, kitab rujukannya pun tak ada, gurunya hanyalah nafsunya sendiri yang telah dipengaruhi oleh Iblis laknatullah.Di zaman ini masyarakat yang jahil akan menilai seseorang ilmuan berdasarkan kepada sijil yang diperolehi dan bukannya dengan keilmuannya yang ada sedangkan sijil itu hanyalah permainan golongan orientalis yang nak menghadkan ilmu seseorang sedangkan ilmu itu tidak ada hadnya. Malah ada di kalangan mereka yang menggunakan sijil hanyalah untuk mendapatkan sesuatu jawatan yang akhirnya menjadi takut untuk menegakkan kebenaran kerana sayangkan jawatan dan habuan yang diterima. Dalam beberapa siri kuliah al-Faqir, maka kerapkali akan menegur kesilapan sesiapa sahaja kerana menasihati dengan teguran itu adalah tugas seorang da'ie.Satu perumpamaan yang disebut ialah...."Kulit yang luka dan sakit apabila disapukan ubat, akan terasa pedihnya tetapi kulit yang tidak ada lukanya, disapukan ubat, tidak akan terasa apa-apa, begitulah dengan nasihat yang disampaikan secara umum, jika hati yang sihat, tidak terkesan apa-apa baginya tetapi kalau hati yang berpenyakit, penuh dengan kemaksiatan, akan terasa pedih bila mendengar nasihat yang terkena pada batang hidungnya.Akhirnya tanpa dapat berhujah dengan ilmu, golongan-golongan ini akan menaburkan fitnah kepada masyarakat agar dakwah menentang kebathilan ini dapat disekat.Bagi al-Faqir cukuplah dengan pesanan Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki ketika bertalaqi Kitab Fatawa Imam Nawawi bersama beliau, di mana katanya,"Jangan takut ditalak tiga oleh masyarakat, jangan sampai menjadi penjilat atau pengampu demi untuk mendapatkan habuan duniawi.Ilmu adalah anugerah Allah yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, jangan sampai kita merosakkan dunia ilmu dan mengikut rentak perjalanan mereka yang tidak memahami landasan ilmu itu sendiri".

No comments: