Monday, October 6, 2014

Ceramah Perdana Di IPK Selangor.

Alhamdulillah, dengan keizinan dari Allah, al-Faqir telah dapat menyampaikan ceramah di Surau Khalid al-Walid, Ibu Pejabat Kontijen Polis di Seksyen 9 Shah Alam Selangor. Ceramah selama 1 jam 30 minit itu telah menyentuh tentang erti pengorbanan yang sebenar. Di antaranya ialah ramai yang hanya setahun sekali melakukan ibadat korban tetapi tidak mengorbankan masa tidur untuk berjemaah solat fardhu Subuh di masjid atau surau.Begitu juga dalam melaksanakan tuntutan sunat ibadat korban tetapi dalam masa yang sama meninggalkan kewajipan menuntut ilmu sehingga tidak pernah hadir untuk duduk dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan. Ada juga di antara mereka sibuk dengan perlaksanaan ibadat korban sehinggakan dikorban waktu untuk solat berjemaah dan sebahagiannya solat sendirian pada akhir waktu, bahkan lebih buruk lagi ada yang langsung tidak solat.Begitulah keadaan mereka yang tidak memahami tentang ibadat yang dilakukan kerana sehingga ianya menjadi sebagai satu adat sahaja dan bukannya satu ibadat sedangkan perlaksanaan ibadat korban adalah untuk mendekatkan diri kepda Allah. Banyak lagi yang disentuh tentang pengertian sebenar korban dan bukan sekadar masuk bahagian nama sahaja sedangkan perkara-perkara yang lebih utama tidak dipedulikan.Semoga apa yang disampaikan menjadi pengajaran kepada semua jemaah yang hadir dan diucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Surau Khalid al-Walid yang sudi menjemput al-Faqir untuk menyampaikan ilmu.

No comments: