Thursday, January 22, 2015

Ceramah Maulidurasul Di IKTBN Sepang.

"Jangan Kecewakan Rasulullah ﷺ ", itulah tajuk yang dipilih untuk al-Faqir menyampaikan tausiyah di Surau Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Sepang. Alhamdulillah, al-Faqir telah dapat menyampikan tausiyah kepada seluruh warga IKTBN Sepang tentang amalan-amalan sunnah yang kebayakannya tidak lagi diamalkan oleh masyarakat hatta ia juga dikuburkan oleh para Imam-Imam masjid dengan tanpa rasa bersalah telah membuatkan Nabi ﷺ kecewa.Di antaranya bacaan-bacaan surah di dalam solat tidak dibaca secara berurutan hatta pada Hari Jumaat yang penuh dengan kemuliaan yang disebut sebagai Sayyidul Ayyam, penghulu segala hari, kebanyakan Imam-Imam seolah-oleh tidak suka dengan apa yang telah dicontohkan oleh Nabi yang sering membaca samada Surah al-Jumaah diikuti dengan Surah al-Munafiqun ataupun membaca Surah al-A'la diikuti dengan Surah al-Ghasiyah.Baginda Nabi bersabda dalam sebuah Hadith Sohih,"Barangsiapa yang lama solatnya, pendek khutbahnya, menandakan orang itu faham tentang agamanya.Kerana itu, panjangkanlah solat dan pendekkan khutbah kerana sebahagian khutbah itu adalah sihir".Begitu juga dalam pergerakan di dalam solat dan juga wirid-wirid yang warid dari Hadith Nabi ﷺ ditinggalkan oleh kebanyakan para Imam-Imam masjid. Malangnya bagi masyarakat, suara yang merdu dan sudah boleh menghafal beberapa surah sudah melayakkan diri seseorang menjadi Imam sedangkan kebanyakan mereka tidak pernah bertalaqi secara cermat kitab-kitab fiqh dan Hadith-Hadith Nabi ﷺ bagaimana untuk memimpin jemaah. Kebanyakan para Imam juga amat sukar untuk dinasihati kerana menyangka apabila sudah dipilih menjadi Imam, maka mereka seolah-olah adalah orang yang 'alim dan faqeh tentang ilmu. Selain itu juga al-Faqir menyebut juga tetang amalan-amalan sunnah seharian yang kecil seumpama mendahului kaki kiri memasuki tandas, larangan Nabi ﷺ bagi yang makan dan minum dengan tangan kiri kerana ia adalah perbuatan Syaitan, adab berada di rumah Allah dan sebagainya. Kebanyakan sunnah-sunnah yang kecil ini amat ringan untuk diamalkan tetapi kebanyakan dari masyarakat meremehkannya seolah-olah apa yang telah diajar oleh Baginda Nabi tidak ada ertinya sama sekali.Semoga apa yang disampaikan mendapat pecerahan kepada semua yang hadir dan al-Faqir berharap agar masyarakat terutamanya golongan-golongan yang menjadi pemimpin seumpama para Imam-Imam masjid menunjukkan qudwah hasanah kepada para jemaah agar beribadat berlandaskan kepada ilmu dan bukannya dengan mengikut hawa nafsu semata-mata.Baginda Nabi ﷺ bersabda,"Barangsiapa yang menghidupkan sunnah-sunnahku, orang itu mencintaiku dan sesiapa yang mencintaiku, akan berada di dalam Syurga bersamaku"-al-Hadith.

No comments: